melabur pelaburan newbie

Siri Pelaburan – Macam mana nak mula melabur??

Ramai orang saya perhatikan dah mula minat nak melabur. Saya suka melihat orang muda bercerita tentang ‘investment’ di media sosial. Nampaknya, ia bukan lagi satu subjek yang asing dalam  kalangan orang muda. Hartanah, saham, kripto, saham amanah dan sebagainya dah menjadi topik biasa di Twitter. Cuma satu perkara yang terpaksa saya bangkitkan tentang pelaburan ni, iaitu ramai yang buat secara melulu tanpa panduan.

Saya tak nafikan, memang seronok tengok keuntungan beratus-ratus persen dalam pelaburan. Tapi ramai juga tak sedar yang mereka boleh rugi banyak. Inilah sisi gelap pelaburan yang tak ramai orang nak cerita. Kebanyakan orang cerita bab untung saja dalam ‘investment’ ni. Bab rugi ramai yang pendam sendiri. Jadi, benda pertama nak kena faham dalam pelaburan ialah kita tak semestinya akan untung; ada juga risiko kerugian.

Sebab tu benda paling penting kalau nak ‘invest’ ialah urus kerugian. Ini kerana sekali kita boleh urus kerugian, kita boleh optimumkan keuntungan. Mungkin ada yang dah pro bab pelaburan ni, tapi ‘thread’ kali ni, saya nak kongsikan dengan mereka yang  memang baru nak mula. Bila nak melabur ni, saya selalu tekankan 5 perkara yang boleh dirumuskan dengan akronim L.A.B.U.R.

Lebihan

Pertama sekali nak kena pastikan anda melabur dengan duit lebihan, bukan duit yang anda nak pakai. Jangan duit nak melabur itulah juga duit nak makan, nak beli buku (kalau anda ‘student’) atau duit nak beli susu anak. Pastikan duit ni memang anda semua dah letak tepi  dan tak nak pandang pun duit tu dalam tempoh tertentu.

Kalau duit ngam-ngam saja untuk makan, lepas tu nak melabur guna duit tu, takut nanti ada yang sampai terpaksa berlapar sebab nak melabur punya pasal. Lepas tu kena macam-macam penyakit—lagi pening nanti. Jadi pastikan nak melabur tu memang guna duit yang tak pakai. Kadang-kadang orang fikir kena ada lebihan yang banyak baru nak melabur. Bagi saya, kalau ada lebihan RM100 pun dah ngam.

Kalau melabur dalam ASB, lebihan RM10 pun boleh. Tapi jangan lah sampai bila-bila pun kekal dengan RM10 tu, macam mana pelaburan nak berkembang?

Aman

Aman ni sangat penting, sebab pasaran akan menghukum mereka yang beremosi dalam pasaran lagi-lagi bila segalanya merudum. Masa tu semua pakat melompat macam tak cukup tanah. Jadi, dalam pelaburan ni, yang paling penting ialah kita kena tenang.

Nak dapat ketenangan ni, pertama sekali kena pastikan modal tu dari duit lebihan macam saya cakap tadi. Kemudian, kena ada simpanan kecemasan. Kalau tiba-tiba kereta rosak dan sebagainya, tak ada lah terdesak nak jual pelaburan tu. Benda paling penting nak tenang ni, kena ada lah sedikit ilmu dalam pelaburan. Ini untuk bantu buat keputusan terutamanya bila nak kurangkan kerugian (cut loss) dan bila nak buat untung (take profit).

Kalau tak ada masa nak belajar benda-benda ni, eloklah upah penasihat yang boleh tolong beri ‘professional advice’ bila nak labur dan bila nak jual.

Berdisiplin

Ini paling penting. Kita kena tahu bila pasaran tak memihak kepada kita. Bila sampai masa kena hadap kerugian, maka hadaplah dan jangan banyak soal. Ramai yang bertangguh dalam nak hadap kerugian ni. Mula-mula baru rugi 20% tetapi sebab tak disiplin terus rugi 50%. Kita tak nak jadi begini.

Seterusnya, dalam bab disiplin ni kena konsisten. Pelaburan ni bukan skim cepat kaya. Jadi kena konsisten untuk pelaburan jangka masa panjang. Keuntungan jangka masa pendek tu okey, cuma tak berapa ‘sustainable’. ‘Long term investment’ adalah lebih baik.

Untung

Sudah tentu bila nak melabur ni kita akan fikir tentang untung, kan? Tapi berapa banyak untung yang okey? Bagi saya, selagi pelaburan tu boleh beri pulangan lebih daripada 3%, itu dah okey. Ini sebab kita kena ‘beat inflation factor’ dulu.

Kemudian dalam bab untung ni, kena pastikan pulangan pelaburan tu masuk akal. Ada orang nak sampai 30% pulangan setiap tahun. Dalam satu-satu masa mungkin bolehlah dapat sekitar 20% tapi untuk konsisten 20% setiap tahun tak mungkin berlaku.

Sebab itu kita kena cari pelaburan yang konsisten untung setiap tahun walaupun kecil, bukannya pelaburan yang beri one time gain, lepas tu asyik rugi.

Revise

Ini juga paling penting. Pelaburan ni macam pokok yang kita tanam dan perlu dibaja. Jadi, pelaburan ni bukannya dibuat lepas tu dibiar saja—kena ambil tahu juga. Setiap tahun semak balik okey atau tak ‘investment’ anda tu. Selalunya saya buat penilaian ni sekitar Disember sebab masa tu selalunya kita nak ‘tutup buku’ untuk tahun tersebut.

Kalau rasa ada pelaburan lain yang lebih baik, kita boleh mula ‘diversify’ ke pelaburan yang lebih baik.

‘Thread’ ni bukan nak takutkan anda melabur. Hanya untuk berkongsi ilmu supaya anda melabur dengan cara yang betul dan bukannya terburu-buru. So untuk mereka yang nak mula melabur, ingat LABUR. ‘Happy investing’ dan jumpa anda di puncak kejayaan!

Artikel ini dibawakan oleh Faiz Wahab dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Mencari tip-tip kewangan? Dapatkan artikel, infografik dan bahan ilmiah yang lain tentang pelbagai topik kewangan oleh AKPK di ask.akpk.org.my

Subscribe faizwahab.com untuk lebih banyak tips kewangan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *