riba kehidupan riba islam riba haram

Riba Dalam Kehidupan Seharian

Allah SWT mengharamkan hambanya dari terjebak dengan segala muamalah yang terdapat padanya riba. Riba bermaksud increment atau pertambah yang dikenakan pada perkara tertentu. Pertambahan yang dimaksudkan boleh berlaku pada aktiviti hutang dan jual beli.

Terdapat beberapa unsur dan elemen yang diharamkan oleh Islam secara mutlak di dalam urus niaga dan transaksi muamalat Islam. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan sesuatu urus niaga itu menjadi tidak bertepatan dengan Syariah, haram, dan terbatal. Di antara unsur-unsur dan elemen-elemen tersebut adalah seperti berikut:

  • Riba
  • Ketidakpastian (gharar)
  • Judi
  • Penipuan atau khianat; dan
  • Barangan/perkhidmatan yang haram

Dalam artikel kali ini akan membicarakan tentang salah satu di antara unsur-unsur yang diharamkan oleh Islam di dalam sistem muamalat Islam. Unsur ini jarang digeruni akan pengharamannya di kalangan masyarakat hari ini. Diharapkan dengan penjelasan ringkas ini dapat menyedarkan masyarakat umum akan pengharamannya. Unsur yang dimaksudkan adalah unsur RIBA.

Dalil

Pengharamannya disebut dengan jelas dalam Al-Quran dan hadis. Antara beberapa ayat Al-Quran yang menjelaskan kedudukan riba sebagai haram adalah seperti berikut:

Al-Quran

 Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat-ganda; dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

(Ali ‘Imran[3:130])

Dan sesuatu pemberian (riba) yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah. Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang yang beroleh pahala berganda-ganda.

(Al-Rum[30:39])

Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah. Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Al-Nisa’[4:161])

Selain kedudukannya yang haram, dalam Al-Quran juga ada menyebut berkenaan golongan pengamal riba adalah golongan yang diperangi oleh Allah dan Rasul.

Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut), jika benar kamu orang yang beriman. Maka jika kamu tidak melakukan (perintah tinggalkan riba itu) maka ketahuilah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya akan memerangimu dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

(Al-Baqarah[2:278-279])

Hadis

Hadis di bawah pula adalah penjelasan Nabi S.A.W. tentang kedudukan sebenar pemakan riba, wakil, saksi dan penulisnya yang telah dilaknati Allah S.W.T. di mana sabda Nabi S.A.W:

Allah melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya.

(Riwayat Ahmad, Tirmizi, dan Ibn Majah)

Jenis-jenis Riba

Para Fuqaha’ membahagikannya kepada pelbagai jenis, namun memudahkan pemahaman secara umum, cukuplah kita mengetahui dua jenis yang utama.

Secara umumnya, ia terbahagi kepada dua jenis yang utama, iaitu riba yang berlaku di dalam urusan jual beli dan ianya dikenali sebagai riba al-buyu’ dan yang berlaku di dalam urusan hutang piutang dan ianya dikenali sebagai riba al-duyun.

Riba Al-Buyu’

Riba al-buyu’ berlaku dalam akad jual beli barang ribawi dan berlaku dalam dua keadaan. Keadaan yang pertama ialah jual beli atau pertukaran antara barang ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat atau kuantiti.

Keadaan yang kedua adalah jual beli atau pertukaran di antara barang ribawi yang berlainan jenis tetapi sama illah ribanya secara tertangguh (bukan dalam satu masa). Sepertimana dinyatakan di dalam hadis riwayat Muslim dalam syarat pertukaran barang ribawi.

Diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin Saamit daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: Jual beli emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, buah kurma dengan buah kurma, dan garam dengan garam hendaklah sama timbangan atau sukatan, dan tukar menukar dalam masa yang sama.  Jika sekiranya berlainan bahan-bahan ini, maka kamu boleh jual sebagaimana yang kamu suka dengan syarat berlaku pertukaran pada masa yang sama.”

(Riwayat Imam Ahmad dan Muslim)

Sebagai contoh bagi keadaan yang pertama, jual beli antara 5 gram emas dengan 6 gram emas. Ianya haram kerana berlaku lebihan pada berat emas yang kedua dan ini adalah salah satu contoh riba. Sepatutnya kedua-dua emas tersebut sama berat timbangannya.

Bagi contoh kedua pula, pertukaran antara emas Puan Salmah (5 gram) dengan emas Encik Asmadi (5 gram) secara bertangguh. Keduanya bersetuju untuk membuat pertukaran emas, akan tetapi, atas sebab tertentu Encik Ali tidak dapat memberikan emas tersebut kepada Puan Salmah pada ketika itu. Jika transaksi tersebut diteruskan, maka berlakulah riba.

Contoh bagi keadaan yang kedua yang sering berlaku dalam kehidupan kita pula adalah pertukaran wang ringgit. Bagi pertukaran wang ringgit, ianya menggunapakai hukum yang sama sepertimana hukum barangan ribawi.

Puan Aminah membayar RM4,218 untuk membeli matawang Dollar Amerika $1,000. Oleh kerana masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan, matawang Dollar tersebut diserahkan kepada Puan Aminah selepas seminggu.

Akibat menangguhkan penyerahan matawang tersebut berlakunya riba kerana pertukaran diantara barang ribawi (matawang Dollar dan Ringgit) oleh Puan Aminah dikira sebagai riba yang diharamkan oleh Islam. Ini adalah kerana pertukaran atau belian antara barang ribawi yang sama illah ribanya (dalam contoh ini illah riba adalah alat pertukaran) hendaklah berlaku secara serentak di dalam majlis akad.

Riba Al-Duyun

Riba al-duyun berlaku dalam akad pinjaman hutang. Riba jenis ini juga berlaku dalam dua keadaan. Keadaan yang pertama berlaku apabila kadar atau manfaat tambahan yang disyaratkan atas pemberian jumlah pinjaman pokok.

Keadaan kedua berlaku apabila kadar atau manfaat tambahan lebih dari jumlah pinjaman pokok yang dikenakan akibat si peminjam gagal membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan pada tempoh yang dipersetujui.

Contoh bagi keadaan yang pertama, misalnya Encik Aslam memohon pinjaman wang berjumlah RM10,000 dari bank konvensional dan disyaratkan membayar balik wang tersebut dengan nilai RM18,000. Maka lebihan nilai hutang pokok tersebut yang bernilai RM8,000 itu adalah riba.

Bagi keadaan yang kedua, Encik Aslam menjual kereta berharga RM40,000 secara tangguh dalam tempoh 5 tahun. Disebabkan pembeli tidak dapat membayar dalam tempoh yang dijanjikan, En. Ikram memanjangkan lagi tempoh pembayaran dengan menambahkan hutang yang perlu dibayar oleh pembeli. Maka tambahan yang dikenakan itu adalah haram.

riba kewangan islam Riba Dalam Kehidupan Seharian riba haram
Sumber: AIMS

Akan tetapi dalam pembiayaan Islamik di bank-bank islamik, akad yang digunakan adalah akad jual beli. Maka tidak berlaku elemen riba dalam transaksi tersebut. Penerangan lanjut berkenaan hal ini akan dibincangkan dalam artikel akan datang.

Kesimpulan

Ternyata riba adalah satu perkara yang diharamkan dalam islam. Ini disokong oleh dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjauhkan diri daripada elemen ini yang merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar.

Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)

(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pengharamannya adalah merupakan satu hikmah. Hal ini kerana, ia adalah sesuatu yang menganiaya sesuatu pihak dalam transaksi. Perkara ini jelas bercanggah dengan kepentingan kemanusiaan kerana peminjam tiada pilihan melainkan terpaksa membayar lebih dari apa yang diperolehi dalam pertukaran.

Pihak yang memakan riba akan bertambah kaya dan senang, hasil gandaan dan percambahan wang yang dipinjamkan. Golongan kaya yang mampu memberi pinjaman akan bertambah kaya dari hari ke hari, manakala golongan yang meminjam wang akan terus miskin akibat percambahan riba dari pinjamannya.

Ini seterusnya menghalang orang ramai dari terbabit secara langsung dengan aktiviti ekonomi sebenar. Dengan riba, orang lebih berminat melakukan transaksi kewangan daripada transaksi jual beli yang memacu ekonomi.

Ini kerana dalam transaksi kewangan mendatangkan keuntungan tanpa perlu melakukan apa-apa usaha. Sistem ekonomi akan musnah jika perkara ini dibiarkan secara berterusan.

Walaupun kita tidak sedar, akan tetapi dalam setiap transaksi seharian kita sangat mudah untuk terjebak dengan elemen ini. Adalah satu kewajipan kepada kita untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan riba.

Ikuti kami supaya anda tidak terlepas siri artikel yang seterusnya

Subscribe now for Free

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *