REITs bursa malaysia

REITs: Melabur hartanah dengan modal tak sampai RM100

Ramai anak muda yang nak melabur hartanah tetapi mempunyai modal yang terhad. REITs, atau nama penuhnya Real Estate Investment Trust adalah satu medium yang menarik untuk dicuba. Hal ini kerana, REITs membolehkan kita melabur dalam hartanah dengan walaupun mempunyai modal yang rendah.

Walaupun pelaburan ekuiti sangat menarik dari segi peningkatan harga, REITs pula menarik kerana menawarkan pendapatan yang stabil dan pada masa yang sama, kita juga boleh menikmati peningkatan harga juga. Inilah antara kelebihan REITs.

Apa itu pelaburan ekuiti? Klik sini

REITs merupakan salah satu pelaburan yang kurang diperkatakan di Malaysia. Walaubagaimanapun, perkembangan REITs menjadi semakin rancak kebelakangan ini kerana ianya digemari untuk dimasukkan dalam portfolio untuk tujuan defensif.

Ianya sangat berguna bagi pelabur-pelabur baharu kerana sifatnya yang mempunyai risiko yang lebih rendah bebanding pelaburan ekuiti atau saham. REITs juga menawarkan dividen yang agak tinggi. Jom ketahui REITs dengan lebih mendalam

Memahami REITs

reits bursa malaysia

Secara ringkasnya, REITs adalah salah satu bentuk unit amanah atau unit trust. Perbezaan unit trust dengan REITs adalah, REIT hanya melabur dalam sektor hartanah mana kala unit trust pula melabur dalam beberapa instumen pelaburan lain.

Pelabur akan melabur duit dalam sesebuah REITs melalui satu syarikat pengurus dana. Duit para pelabur tersebut akan digunakan oleh pihak syarikat pengurus dana untuk membeli hartanah seperti hotel, hospital, ruang pejabat, gudang dan juga pusat beli belah.

Kemudian, hartanah-hartanah ini akan disewakan kepada penyewa untuk satu tempoh masa tertentu berdasarkan perjanjian antara penyewa dan pihak pengurusan.

Pendapatan yang dijana daripada hasil sewaan ini kemudiannya akan dibahagikan kepada pelabur mengikut jumlah pelaburan yang dibuat. Apa yang menariknya, REITs akan membayar 90% daripada keuntungan pendapatan kepada para pelabur!

Kenapa melabur dalam REITs?

Dividen yang menarik

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, REITs akan membayar 90% daripada keuntungan sewaannya kepada para pelabur. Ini menjadikannya lebih banyak berbanding saham syarikat atau ekuiti biasa. Oleh sebab itu, REITs, sangat sesuai dijadikan sebagai instrument yang difensif dalam portfolio seseorang pelabur.

Diversifikasi

Dengan melabur dalam instrument ini, ia menjadikan anda pemilik kepada beberapa hartanah pada satu-satu masa. Jika berlaku pengurangan bilangan penyewa di satu-satu kawasan, ini mengurangkan risiko kerugian anda.

Hal ini kerana, anda mempunyai hartanah di kawasan atau sektor lain yang boleh menampung pengurangan yang berlaku.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pelaburan anda dipecahkan kepada beberapa jenis hartanah seperti hotel, hospital, ruang pejabat, gudang dan juga pusat beli belah.

Sebagai contoh anda melabur dalam KLCC REITs, anda merupakan salah seorang pemilik sah bagi Menara Berkembar Petronas Menarik bukan?

Kecairan

Berbanding dengan hartanah fizikal, anda boleh membeli dan menjual REITs dalam masa yang sangat singkat. Bagi hartanah fizikal, proses transaksi mengambil masa antara 3 bulan sehingga 2 tahun secara amnya.

Tetapi apabila anda membeli REITs, proses transaksi berlaku dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Jika anda tersalah membeli hartanah yang merugikan, susah untuk anda menjual semula hartanah tersebut. Ini dapat diatasi jika anda melabur melalui REITs.

Dalam pelaburan, kecairan adalah satu elemen yang sangat penting. Ini terutamanya jika anda memerlukan wang dengan segera dan perlu mencairkan aset anda.

Ketenangan minda

Menguruskan penyewa bukanlah satu perkara yang mudah. Setiap penyewa mempunyai ragam yang tertentu yang perlu kita hadapi.

Cuba bayangkan perlu menguruskan satu kompleks membeli belah sebesar MidValley atau Pavillion, bukannya mudah dan meletihkan.

Pelaburan ini membolehkan anda untuk menikmati hari anda seperti biasa kerana hartnah-hartanah anda diuruskan oleh pakar-pakar pengurus hartanah.

Tambahan pula, terdapat pengurus dana yang professional yang membantu anda untuk membeli hartanah-hartanah baharu untuk dimasukkan dalam portfolio pelaburan anda.

Modal rendah

Ini adalah salah satu faktor tambahan kenapa saya sangat menyukai pelaburan ini. Tidak dinafikan, pelaburan hartanah fizikal memerlukan anda mempunyai modal yang sangat besar. Selain itu, cas-cas yang berkaitan dengan pelaburan fizikal juga agak tinggi.

Dalam pelaburan ini, cas yang dikenakan tak sampai 1%. Ada pula yang menawarkan cas permulaan 0%! Inilah yang menjadikan pelaburan ini sangat menarik.

Apa yang lagi menarik adalah terdapat REITs yang membolehkan anda untuk melabur dengan modal serendah RM100 sahaja.

Jenis-jenis

Amanah Hartanah Bumiputera

Amanah Hartanah Bumiputera atau juga disebut sebagai AHB adalah satu REITs harga tetap yang diurusakan oleh Pelaburan Hartanah Berhad .

Harga bagi setiap unit telah ditetapkan pada RM1 seunit. Ini menjadikannya sangat menarik kerana pelabur tidak terdedah kepada risiko kerugian disebabkan penurunan harga unit.

Pelabur hanya boleh menjana keuntungan bagi dividen AHB yang diterima sahaja. Setakat ini dividen AHB adalah sangat kompetetif berbanding dengan produk-produk yang ada dalam pasaran. Dividen AHB diumumkan sebanyak dua kali setahun.

Selain itu, apa yang menarik berkaitan dividen AHB adalah ianya sudah ditolak dengan zakat. Jadi pelabur muslim tidak perlu risau berkaitan zakat pelaburan AHB ini.

Bagi memulakan pelaburan ini, anda boleh membuka akaun melalui mana-mana cawangan Maybank atau AmBank.

Didagangkan di Bursa Malaysia

Berbeza dengan AHB yang mempunyai harga tetap, terdapat juga REITs yang tersenarai di Bursa Malaysia. Bagi REITs jenis ini, anda boleh membeli secara terus melalui Bursa Malaysia.

Untuk membeli, anda memerlukan akaun CDS atau akaun saham terlebih dahulu. Apabila anda sudah mempunyai akaun CDS, anda boleh melakukan transaksi jual beli sama seperti anda membeli saham di Bursa Malaysia.

Klik sini untuk senarai penuh broker saham islamik

Bagi REITs jenis ini, harga berubah mengikut masa. Anda boleh menjana keuntungan melaui peningkatan harga dan juga dividen yang diperoleh. Ini menjadikan anda boleh menjana keuntungan dengan lebih cepat.

Setakat ini terdapat 18 REITs yang didagangkan di Bursa Malaysia dan 4 daripadanya adalah patuh syariah.

Amanah Harta Tanah PNB AHP Tidak patuh Syariah
Al-Aqar Healthcare REIT ALAQAR Patuh Syariah
Al-Salam REIT ALSREIT Patuh Syariah
AmFirst REIT AMFIRST Tidak patuh Syariah
Amanah Raya REIT ARREIT Tidak patuh Syariah
Atrium REIT ATRIUM Tidak patuh Syariah
Axis REIT AXREIT Patuh Syariah
Capital Malls Malaysia Trust CMMT Tidak patuh Syariah
Hektar REIT HEKTAR Tidak patuh Syariah
IGB REIT IGBREIT Tidak patuh Syariah
KLCC REIT KLCC Patuh Syariah
Pavillion REIT PAVREIT Tidak patuh Syariah
Quill Capita Trust QCAPITA Tidak patuh Syariah
Starhill REIT STAREIT Tidak patuh Syariah
Sunway REIT SUNREIT Tidak patuh Syariah
Tower REIT TWRREIT Tidak patuh Syariah
UOA REIT UOAREIT Tidak patuh Syariah
YTL Hospitality REIT YTLREIT Tidak patuh Syariah

Di Bursa Malaysia, anda perlu membeli minimum 1 lot yang bersamaan dengan 100 unit. Katakan anda membeli Al-Salam REITS yang berharga RM0.865 seunit, maka modal minima yang anda perlukan untuk membeli REITs ini adalah RM86.50 sahaja

Harga Al-Salam REITs pada 12 November 2019

Panduan memilih REITs

Seperti yang dijelaskan dalam bahagian awal artikel ini, pendapatan atau dividen yang diperoleh oleh pelabur adalah melalui keuntungan sewaan.

Oleh itu, antara yang perlu anda lakukan bagi memilih REITs adalah lawatan tapak atau site visit. Semasa lawatan tapak tersebut, ada beberapa perkara yang anda perlu perhatikan.

Antara perkara yang perlu diperhatikan jika anda hendak membeli REITs berkaitan dengan pusat membeli belah adalah:

Berapa ramai pengunjung?

Lebih ramai pengunjung, bermaksud lebih banyak pelanggan untuk membeli produk-produk yang dijualkan di pusat beli belah tersebut.

Apabila sesuatu pusat beli belah tersebut dapat menarik ramai pengunjung, ini merupakan satu indicator yang menunjukkan pusat membeli belah tersebut sihat.

Berapa banyak kedai buka?

Bilangan pengunjung sahaja tidak memadai. Apa yang lebih penting adalah anda melihat berapa banyak kedai yang dibuka di pusat beli belah tersebut.

Semakin banyak kedai yang dibuka, semakin banyak keuntungan yang dijanakan. Jika tidak ada orang yang menyewa, bagaimana REITs tersebut nak menjana pendapatan untuk anda?

Inilah yang menjadi faktor utama dalam pemilihan sesuatu REITs. Ini merupakan salah satu indikator yang paling asas sebelum anda memulakan pelaburan anda.

Walaubagaimanapun, ini tidak menjanjikan keuntungan kepada anda. Sila dapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan berlesen untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat

Ikuti kami bagi membantu anda mendapatkan kebebasan kewangan dengan lebih cepat

Subscribe now for Free

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *