perancangan kewangan malaysia faiz wahab financial planning rancang wang

Perancangan kewangan di Malaysia

Kebelakangan ini perkembangan masyarakat terhadap industri kewangan semakin bertambah. Banyak tips-tips yang dikongsikan di media sosial dan blog kewangan. Persoalannya, siapakah yang layak memberikan perancangan kewangan kepada anda?

Tidak dapat dinafikan salah satu penyumbang kepada perkembangan positif ini adalah disebabkan oleh akses internet yang lebih baik. Hari ini kita dapat memperoleh informasi dan pengetahuan dengan carian di internet sahaja.

Kadangkala, informasi tersebut tidak dicari tetapi secara kebetulan akan lalu di susur masa media sosial kita. Oleh sebab itu, masyarakat zaman sekarang lebih terdedah kepada pelbagai jenis informasi terutamanya berkaitan kewangan.

Secara amnya, kita selalu mendengar nasihat kewangan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga. Tidak terkecuali, ada nasihat-nasihat yang kita perolehi daripada media sosial.

Badan Kawalselia

Industri kewangan adalah sebuah industri yang dikawalselia oleh badan-badan tertentu. Dua badan utama yang mengawalselia industri ini adalah pihak Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Peranan Bank Negara

Bank Nagara melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Financial Services Act (FSA) 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 atau Islamic Financial Services Act (IFSA) 2013 dipertanggungjawabkan untuk mengawalselia segala jenis aktiviti kewangan di Malaysia.

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 adalah suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pengawalseliaan dan penyeliaan institusi kewangan, sistem pembayaran dan entiti berkaitan yang lain dan pengawasan pasaran wang dan pasaran pertukaran asing untuk menggalakkan kestabilan kewangan dan bagi perkara yang berhubungan, berbangkit atau bersampingan dengannya.

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013

Undang-undang ini juga menyediakan Bank Negara Malaysia dengan kuasa pengawasan pengawalseliaan dan penyeliaan yang diperlukan untuk memenuhi mandat yang luas dalam persekitaran yang lebih kompleks dan saling berkaitan, memandangkan perkembangan kewangan serantau dan antarabangsa.

Ini termasuk peningkatan tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan untuk menangani isu-isu yang membimbangkan di institusi kewangan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit dan pemegang polisi, dan fungsi dan pengantaraan kewangan yang berkesan dan cekap.

Peranan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti pula dipertanggungjawabkan untuk  mengawalselia pasaran modal di Malaysia melalui Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007 atau juga disebut sebagai Capital Markets And Services Act (CMSA) 2007.

Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007 adalah suatu Akta untuk menggabungkan Akta Perindustrian Sekuriti 1983 [Akta 280] dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 [Akta 499], untuk mengawal selia dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan aktiviti, pasaran dan perantara dalam pasaran modal, dan bagi perkara yang berbangkit dan bersampingan dengannya.

Akta Pasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007

Dengan ada adanya kedua-dua akta ini iaitu FSA/IFSA dan CMSA menjadikan industri kewangan sebagai sebuah industri yang dikawalselia dengan ketat. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan berkaitan dengan industri ini hendaklah mendapat kebenaran ataupun berlesen.

Penyeliaan industri kewangan

Ini tidak terkecuali bagi pengguna untuk mendapatkan servis perancangan kewangan. Mendapatkan perancangan kewangan adalah satu perkara yang penting dalam kehidupan seseorang. Jika kita mendapatkan perancangan yang salah, ianya akan memberi impak yang negatif terhadap masa depan kewangan seseorang individu.

Bagi menjaga kepentingan pengguna dan rakyat Malaysia, servis ini tidak boleh dijalankan oleh mana-mana individu yang tidak berlesen. Atas dasar ini, sebarang servis perancangan kewangan hanya boleh dijalankan oleh individu yang berlesen sahaja.

Pengenalan kepada servis perancangan kewangan

Ejen dan konsultan

Secara amnya, kita lebih terbiasa dengan ejen ataupun konsultan kewangan. Ejen atau konsultan ini adalah individu yang berdaftar untuk mengedarkan sesuatu produk kewangan. Sebagai contoh, konsultan unit amanah atau unit trust hanya boleh memasarkan produk unit amanah.

 “Unit Trust Scheme Consultant” or “UTS Consultant” means an individual who is duly registered with the Federation of Investment Managers Malaysia to market and distribute UTS.

FIMM

Individu-individu ini hanya berkelayakan untuk memasarkan produk kewangan seperti unit amanah, takaful dan insurans. Walaubagaimanapun, mereka tidak berlesen untuk memberikan sebarang khidmat nasihat kepada anda.

Licensed Financial Planner

Di bawah Jadual 2, Bahagian 2 Akta Pasaran & Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA), perancangan kewangan telah ditakrifkan sebagai ‘menganalisis keadaan kewangan orang lain dan menyediakan pelan untuk memenuhi keperluan kewangan dan objektif orang lain itu, termasuk apa-apa pelan pelaburan dalam sekuriti, sama ada atau tidak bayaran dikenakan terhadapnya.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

CMSA menyediakan dua jenis lesen iaitu:

Capital Markets Services Licence (CMSL) yang melayakkan institusi menjalankan perniagaan dalam mana-mana satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia; dan

Capital Markets Services Representative’s Licence (CMSRL) yang melayakkan hak seorang individu untuk menjalankan satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia bagi pihak prinsipalnya.

Dalam hal ini, Licensed Financial Planner yang merupakan seorang pemegang lesen CMSRL dibenarkan memberi nasihat kepada pelanggan menurut penilaian dan analisis yang dilakukan terhadap keperluan kliennya termasuk mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan rancangan yang telah disediakan.

Ini termasuk menganalisis keperluan pelanggan ke atas bidang seperti pelaburan, simpanan, perancangan cukai, estet dan perancangan persaraan. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengetahui bahawasanya individu yang mempunyai CMSRL sahaja yang berkelayakan untuk memberikan khidmat nasihat kewangan kepada orang awam.

Bagi menyemak sama ada individu tersebut mempunyai lesen CMSRL atau tidak, anda boleh klik di sini

Ikuti kami bagi membantu anda mendapatkan kebebasan kewangan dengan lebih cepat

Subscribe now for Free

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *