Panduan Pengurusan Duit Raya Anak

Panduan Pengurusan Duit Raya Anak

Alhamdulillah, kita telah selesai merayakan Hari Raya Aidilfitri. Apabila berbicara berkenaan Hari Raya Aidilfitri, maka tidak lain tidak bukan, kita juga akan membincangkan berkenaan duit raya.

Tradisi memberi duit raya dilakukan secara turun-temurun yang mana ianya tidak bercanggah dengan kehendak syarak.

Tidak ada amaun yang ditetapkan oleh mana-mana pihak bagi tujuan duit raya. Ianya tidak pula menjadi satu kesalahan jika tidak ada duit raya diberikan menjelang Aidilfitri. Seeloknya kita memberi pada kadar kemampuan diri sendiri dan tidak mengungkit pemberian tersebut.

Adab bagi penerima pula adalah, bersyukur dengan pemberian yang diberikan dan tidak membanding-banding jumlah duit raya yang diterima. Sebagai ibu bapa, hal ini perlulah diterapkan dalam diri anak-anak.

Pengurusan Duit Raya

Sebagai seorang perancang kewangan professional, apa yang lebih menarik perhatian saya adalah bagaimana ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk menguruskan duit yang diterima.

Dalam usia yang muda, anak-anak seharusnya diajar untuk menyimpan dan menabung. Disiplin ini hendaklah diterap sejak kecil bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tidak salah untuk mengambil sedikit duit untuk dibelanjakan, tetapi seeloknya peratusan yang besar digunakan untuk simpanan.

Sebagai ibu ayah, kita memikul amanah untuk menguruskan duit anak-anak. “Ibu bapa tak boleh guna duit anak mereka dgn sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa menggunakan harta anak dalam perkara yang tak menjadi keperluan, wajib ke atas ibu bapa untuk ganti kembali.”

Hal ini diterangkan secara panjang lebar oleh Mufti Wilayah dalam Al-Kafi #1171: Hukum Ibu Bapa Menggunakan Harta Anak-Anak. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh sewenang-wenangnya membelanjakan duit raya anak bagi tujuan peribadi.

Sebagai pemegang amanah, apa yang boleh dilakukan adalah menyimpan duit tersebut di dalam bank. Walaubagaimanapun, kita tahu hibah yang diberikan oleh pihak bank adalah sekitar 2% sahaja ataupun kurang. Berdasarkan kajian kes yang dibuat, ini adalah sangat merugikan.

Kajian kes 1

Dijangkakan seorang anak menerima duit raya berjumlah RM300 pada setiap tahun. Duit ini ditambah setiap tahun ke dalam akaun bank yang memberi pulangan hibah sebanyak 2% sahaja. Apabila anak tersebut mencapai umur 20 tahun, jumlah simpanan beliau adalah RM7,289 sahaja.

Kajian kes 2

Mengambil situasi yang sama iaitu seorang anak menerima duit raya berjumlah RM300 pada setiap tahun. Duit ini ditambah setiap tahun ke dalam akaun pelaburan yang memberi pulangan hibah sebanyak 7%. Apabila anak tersebut mencapai umur 20 tahun, jumlah simpanan beliau adalah berjumlah RM12,299 sahaja.

Kesimpulan dari kajian kes

Berdasarkan kajian kes 1 dan 2, apa yang dapat dilihat di sini adalah, adalah lebih berbaloi untuk ibu ayah sebagai pemegang amanah meletakkan duit raya anak-anak dalam pelaburan yang lebih tinggi berbanding simpanan akaun bank biasa. Hal ini kerana, ianya memberi perbezaan yang amat signifikan iaitu melebihi RM5,000 bagi tempoh yang sama iaitu 20 tahun.

Sebagai pemegang amanah, adalah penting untuk ibu ayah mencari pelaburan yang memeberi pulangan yang lebih tinggi pada kadar risiko yang rendah. Terdapat pelabagai jenis pelaburan di luar sana yang boleh digunakan bagi tujuan ini.

Ibu ayah boleh mendapatkan bantuan khidmat perancang kewangan berlesen untuk membantu anda merancang pelaburan yang terbaik untuk anak-anak di kemudian hari.

Dalam kajian kes yang dikemukakan, saya tidak mengambil kira pertambahan duit raya yang diperoleh oleh anak tersebut bagi memudahkan pembaca untuk memahami perbandingan ini. Jika kita mengambil kira faktor ini, kesan perbezaan yang berlaku lebih signifikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *