menyimpan merugikan anda

Menyimpan merugikan duit anda!

Ramai orang yang pasti terkejut dengan kenyataan ini. Walaupun pahit untuk diterima, tetapi realitinya menyimpan sahaja tidak baik untuk kedudukan kewangan anda.

Tahukah anda bahawa wang kertas mengalami penyusutan nilai setiap tahun. Sebagai contoh, pada tahun 1990 kita dapat membeli sebungkus nasi lemak pada harga RM0.50 sahaja. Pada tahun 2018, kita terpaksa membeli sebungkus nasi lemak pada harga RM2.00 bagi nasi lemak yang sama.

Mengapa boleh berlaku sebegini? Hal ini kerana duit kita semakin berkurang nilainya disebabkan oleh inflasi. Dalam bahasa yang mudah, inflasi membawa maksud harga barang meningkat atau kuasa membeli berkurang.

Memahami inflasi

inflation malaysia
Sumber: tradingeconomics.com

Kadar inflasi di negara ini secara puratanya adalah pada kadar 3% setahun. Dalam maksud yang pertama iaitu harga barang meningkat, ianya boleh dilihat dalam contoh berikut. Katakan nilai sebungkus nasi lemak pada hari ini bersamaan RM2.

inflasi nasi lemak

Pada 30 tahun akan datang, harga nasi lemak tersebut akan menjadi RM4.85 pada kadar inflasi 3%. Akan tetapi, jika inflasi meningkat sehinnga 4%, nasi lemak yang sama akan menjadi RM6.49 pada 30 tahun akan datang.

Hal ini juga bermaksud, setiap tahun duit kita menyusut nilainya pada kadar 3%. Sebagai contoh, duit RM100 pada hari ini mempunyai kuasa membeli dengan RM97 pada tahun depan.

Walaupun nombor yang tertera pada wang tersebut masih sama, RM100 tetapi kuasa membeli anda menjadi makin rendah. Ini berlaku kerana peningkatan harga barang seperti yang ditunjukkan dalam ilustrasi nasi lemak di atas.

Menyimpan dalam akaun simpanan bank

Simpanan di bank memberikan akan pulangan sekitar 1-2% setahun. Ini sangatlah merugikan kerana semakin banyak anda menyimpan di bank, semakin banyak duit anda yang ditelan oleh inflasi. Hal ini dibuktikan melalui ilustrasi berikut

menyimpan akaun simpanan
Ilustrasi akaun simpanan dalam tempoh 30 tahun

Katakan anda menyimpan RM100,000 dalam akaun simpanan bank anda yang memberikan pulangan 2% setahun. Selepas 30 tahun, wang anda akan menjadi RM74,625.70 sahaja. Ini membuktikan bahawa duit anda telah dimakan oleh inflasi dengan begitu banyak.

Pelaburan

Sebaliknya, jika wang yang disimpan itu dilaburkan, ianya dapat berkembang dari masa ke masa. Dalam merancang pengurusan kewangan kita, salah satu elemen yang penting yang perlu dilihat adalah kadar pulangan pelaburan tersebut dapat mengatasi kadar inflasi.

Pelaburan 7%

Jika anda melabur dalam satu pelaburan yang memberikan pulangan pada kadar 7%, anda akan melihat wang anda daripada RM100,000 berkembang menjadi lebih besar. Ilustrasi di bawah membuktikannya

pelaburan 7%
Ilustrasi pelaburan 7% dalam tempoh 30 tahun

Duit anda daripada RM100,000 diletakkan dalam satu instrument yang memberikan pulangan 7%. Selepas 30 tahun, pelaburan anda akan berkembang menjadi RM313,614.83! Anda telah berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM200,000!

Pelaburan 10%

Mari kita lihat pula bagaimana jika anda mengambil risiko yang lebih tinggi untuk pelaburan yang menawarkan keuntungan yang lebih tinggi. Ilustrasinya seperti berikut.

pelaburan 10%
Ilustrasi pelaburan 10% dalam tempoh 30 tahun

Walaupun 7% dan 10% tidaklah begitu besar perbezaan dari segi angkanya, tetapi ianya perbezaan yang sangat besar apabila melibatkan pelaburan. Bagi tempoh pelaburan yang sama, dengan keuntungan sebanyak 10%, hasil pelaburan anda menjadi RM718,892.27!

Jadi sebagai seorang pelabur yang bijak, anda perlulah mengoptimumkan peluang pelaburan anda. Ini kerana, jika anda hanya menyimpan duit sahaja, ianya akan dimakan oleh inflasi. Sebaliknya jika anda melabur, duit anda dapat berkembang menjadi lebih banyak.

Oleh sebab itu, dapat dibuktikan bahawasanya menyimpan sangat merugikan anda. Walabagaimanapun, anda perlu menyimpan sebahagian duit anda bagi tujuan simpanan kecemasan. Dapatkan khidmat nasihat perunding kewangan berlesen untuk membantu anda mendapatkan pelaburan yang sesuai dengan anda.

Ikuti kami bagi membantu anda mendapatkan kebebasan kewangan dengan lebih cepat

Subscribe now for Free
Loading

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *