Featured krisis ekonomi

Betul ke krisis ekonomi akan berlaku tahun 2019?

Krisis ekonomi merupakan antara topik yang hangat diperkatakan menjelang 2019. Kami di faizwahab.com akan cuba menerangkan kepada para pembaca. Ekonomi dan pasaran kewangan berubah mengikut kitaran. Secara asasnya, kitaran ekonomi mengandungi 4 tahap iaitu pengembangan ekonomi, lonjakan ekonomi, kelembapan ekonomi dan kemelesetan ekonomi.

kitaran ekonomi

Pengembangan ekonomi

Secara amnya ia akan bermula dari bawah dan mengembang ke satu tahap yang lebih tinggi. Dalam keadaan ini, banyak perniagaan akan mencatat keuntungan dan peluang kerja semakin bertambah. Kemudian, apabila perniagaan menjadi semakin rancak, ianya akan mencetuskan lonjakan ekonomi.

Lonjakan ekonomi

Dalam fasa lonjakan ekonomi, kebanyakkan syarikat mencatatkan keuntungan yang sangat besar. Selain itu, wujudnya perniagaan-perniagaan baharu yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan ekonomi yang sangat baik.

Ini menyebabkan peluang kerja yang sangat banyak. Apabila ramai orang yang bekerja, lebih ramai orang berkemampuan untuk membeli barangan yang ditawarkan oleh peniaga.

Kelembapan ekonomi

Apabila ekonomi sudah mencapai satu tahap yang terlalu tinggi, ianya akan melakukan penurunan bagi membolehkan pembetulan (correction) berlaku. Situasi ini dipanggi sebagai kelembapan ekonomi.

Dalam keadaan ini, sebilangan syarikat perniagaan mula menunjukkan penurunan prestasi. Terdapat beberapa syarikat yang mula mencatatkan kerugian. Bagi mengatasi kerugian, syarikat mula mengecilkan operasi mereka. Seterusnya ini menyebabkan orang mula hilang pekerjaan.

Kemelesetan ekonomi

Salah satu faktor kepada kemelesetan ekonomi ini disebabkan terlalu ramai orang yang hilang punca pendapatan. Seperti yang kita tahu, kehilangan punca pendapatan akan menyebabkan kuasa membeli pengguna terus berkurang. Ini kerana, mereka tidak mempunyai duit untuk membeli barang.

Oleh disebabkan kuasa membeli pengguna berkurang, pengguna kurang berbelanja. Apabila tak ada orang beli barang, syarikat tidak berupaya untuk membuat keuntungan. Keadaan ini menyebabkan syarikat terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.

Selepas itu, keadaan ekonomi akan menjadi semakin tenat. Disebabkan oleh kelembapan ekonomi yang terlalu panjang dan ekstensif semakin banyak perniagaan yang mencatatkan kerugian. Banyak syarikat yang tidak dapat menampung kerugian menyebabkan lebih banyak perniagaan yang muflis. Kesannya, lebih ramai orang akan kehilangan pekerjaan. Keadaan ini dipanggil sebagai kemelesetan ekonomi.

Apabila keadaan sudah kembali stabil, iaitu bila mana syarikat boleh mengoptimumkan operasi mereka. Seterusnya, syarikat-syarikat yang berjaya mengharungi kemelesetan perlu berkembang supaya dapat menjana lebih banyak keuntungan. Maka kitaran kedua akan berlaku.

Teori di sebalik krisis ekonomi seterusnya pada tahun 2019

Sebilangan penganalisis meramalkan akan berlaku krisis pada tahun 2019/2020. Ramalan ini dikemukakan berdasarkan beberapa faktor. Antara faktor yang paling biasa didengari adalah kitaran 11 tahun atau 11 years economic cycle.

Teori ini bersandarkan krisis kewangan Asia pada tahun 1997. Krisis yang seterusnya berlaku pada tahun 2008 iaitu krisis ekonomi di Amerika disebabkan oleh spekulasi melampau dalam sektor hartanah. Krisis ini juga dipanggil sebagai sub-prime crisis. Berdasarkan trend ini, oleh itu sebilangan penganalisis meramalkan krisis seterusnya akan berlaku pada tahun 2019.

Walaupun begitu, ini bukanlah satu perkara yang semestinya akan berlaku kerana ini cumalah jangkaan penganalisis. Walaubagaimanapun, sebagai pelabur kita perlu mengambil tahu hal ini bagi memastikan kita dapat mengawal risiko pelaburan.

Terdapat beberapa data yang menunjukkan berkemungkinan berlakunya pembetulan dalam pasaran bagi tahun 2019-2020.

Faktor menyumbang kepada pembetulan pasaran

Pasaran Dunia

Indeks Dow Jones

DJIA krisis ekonomi
Indeks Dow Jones
Sumber: Bloomberg

Indeks saham di Amerika iaitu Dow Jones Industrial Average (DJIA) menunjukkan kejatuhan yang agak signifikan selepas 10 tahun dalam keadaan uptrend. Antara yang menarik minat penganalisis adalah kejatuhan indeks melebihi 1500 mata dalam tempoh seminggu.

Jika keadaan ini berterusan, ini akan menyebabkan berlaku keadaan panik dalam pasaran. Apabila kebanyakkan pelabur cemas, ini bukanlah satu petanda yang sihat bagi pasaran.

Perang perdagangan Amerika-China

Selain itu, ketegangan di antara Amerika-China yang belum selesai atau dikenali sebagai Trade War. Amerika memulakan perang dengan China bagi menyekat kuasa besar Asia tersebut menjadi peneraju ekonomi dunia dan mengatasi kuasa Amerika Syarikat.

Baru-baru ini, ketegangan ini dikendurkan sedikit apabila kedua-dua pemimpin Amerika dan China bersetuju untuk melakukan “gencatan” selama 90 hari. Walaubagaimanapun, apa yang akan berlaku selepas 90 hari masih belum dapat dipastikan. Hanya Donald Trump sahaja yang tahu.

Apakah serangan yang akan dilakukan selepas ini? Apa pula reaksi negara tembok besar itu? Ketidak tentuan ini menyebabkan menyumbang kepada sentimen yang tidak sihat untuk pasaran.

Kejatuhan harga minyak dunia

Selain itu, ketidaktentuan pasaran minyak juga menyumbang kepada kerisauan para pelabur. Seperti yang kita tahu, pendapatan Malaysia kembali bergantung kepada hasil penjualan minyak selepas GST dihapuskan.

Pecahan sumber pendapatan kerajaan Malaysia

Dalam satu laporan yang diterbitkan di Bloomberg menunjukkan GST telah menyelamatkan Malaysia ketika harga minyak mentah dunia berlaku. Oleh kerana sekarang tiada lagi pendapatan kerajaan daripada kutipan GST, maka para pelabur bimbang apa yang akan berlaku pada Malaysia jika harga minyak mentah dunia terus menurun?

Adakah Malaysia akan mengalami keberhutangan yang sangat tinggi? Adakah Malaysia boleh menjadi muflis? Ini merupakan antara persoalan yang timbul terutamanya dalam kalangan pelabur asing.

brent krisis ekonomi
Pergerakan harga minyak mentah dunia
Sumber: Bloomberg

Pasaran tempatan

Indeks saham Bursa Malaysia

klci krisis ekonomi
Indeks Komposit Bursa Saham Malaysia
Sumber: Bloomberg

Melihat pula kepada pasaran tempatan, indeks saham Bursa Malaysia atau KLCI menunjukkan berlakukan perubahan trend dalam pasaran. Sesetengah penganalisis menyatakan perubahan ini berlaku kerana berlakunya perubahan kerajaan kesan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

Apabila berlaku pertukaran kerajaan, polisi kerajaan baharu juga berubah.

Perubahan ini menyebabkan berlakunya ketidakpastian dalam pasaran. Para pelabur asing tidak menggemari perkara ini. Kesannya kita melihat pelabur asing mengeluarkan duit mereka daripada pasaran Malaysia selepas PRU yang lepas.

Sumber: Malaysiastock.biz

Kira-kira RM 5,604.5 juta yang dikeluarkan oleh pelabur asing pada Mei 2018. Walaubagaimanapun, pengeluaran ini semakin berkurang apabila menghampiri penghujung tahun 2018.

Kesimpulan

Walaupun kita tidak boleh meramal secara tepat bilakah akan berlakunya krisis ekonomi yang seterusnya, akan tetapi sebagai pelabur yang bijak, kita perlu mengetahui kemungkinan yang akan berlaku. Sebagai pelabur bijak juga, kita perlu memastikan kita dapat menguruskan risiko apabila krisis yang seterusnya berlaku.

Ikuti artikel kami yang akan datang, “Apa pelabur perlu buat untuk menghadapi krisis ekonomi?” Tak nak terlepas artikel yang akan datang? Ikuti channel telegram kami

SERTAI CHANNEL faiz wahab

Faiz Wahab

Merupakan seorang Licensed Islamic Financial Adviser yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia. Seorang pelabur saham yang aktif di Bursa Malaysia. Kenali lebih lanjut di https://faizwahab.com/faiz-wahab/

You may also like...

Popular Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Artikel ini adalah harta intelek FaizWahab.com. Sila klik button share jika anda merasakan artikel ini bermanfaat untuk dikongsi