Kesilapan Pelabur Paling Utama!

Pelaburan adalah satu topik yang tidak asing lagi. Pelabur mula untuk mencari alternatif pelaburan yang baharu apabila “safe heaven investment” menjadi kurang menarik. Fixed deposit, ASB dan Tabung Haji memberikan pulangan yang lebih rendah dari kebiasaan didorong oleh faktor kelemahan ekonomi dunia.

Generasi millenial sangat terbuka kepada pelaburan-pelaburan baharu kerana ledakan maklumat di internet memberikan mereka akses kepada lebih banyak peluang pelaburan. Ini adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu di mana peluang pelaburan adalah sangat terhad. Dengan internet, pelaburan kini amat mudah dan boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar sahaja.

Akan tetapi, tanpa panduan dan asas yang kukuh, ini menyebabkan ramai orang terperangkap dalam pelaburan yang salah. Ada antara pelabur yang terperangkap dalam skim pelaburan yang menipu dan bersifat scam. Selain itu, ada pelabur yang terjerat dalam pelaburan yang betul tetapi pada waktu yang salah.

Struktur Pelaburan

Carta mingguan Bitcoin

Kebanyakan dari kita suka untuk memulakan pelaburan dalam satu pelaburan yang sudah terkenal. Sesuatu pelaburan menjadi amat terkenal apabila berlaku kenaikan yang mendadak pada pelaburan tersebut. Sebagai contoh, semasa harga Bitcoin berlegar di antara $3000-$4000 sekitar 2019, tidak ramai yang berminat. Akan tetapi, apabila harga Bitcoin mula menembusi $40,000 maka ramai pelabur-pelabur yang mula menceburi Bitcoin.

Carta mingguan Top Glove

Hal yang sama dapat diperhatikan pada kes saham Top Glove. Tatkala harga Top Glove berada sekitar RM3.50-4.50 pada tahun 2019-2020, maka tidak ramai yang menunjukkan inat pada saham ini. Akan tetapi apabila saham tersebut mula melepasi harga RM10, maka minat jualan pada saham ini mula meningkat.

“Investment is about managing risk”

Faiz Wahab

Perkara yang sama boleh diperhatikan pada sekuriti dan komoditi yang lain seperti emas, FCPO dan saham-saham antarabangsa. Fenomena ini dinamakan Fear of Missing Out atau juga disebut sebagai FOMO.

Struktur Pasaran Pelaburan pelabur baru
Struktur Pasaran Pelaburan

FOMO ini adalah satu tindak balas yang biasa diperhatikan apabila keuntungan dalam sesuatu pelaburan menjadi sangat menarik dan ramai yang mula berpusu-pusu untuk menyertai pelaburan tersebut. Ini adalah satu tindakan yang sangat tidak bijak kerana ianya menyebabkan anda memasuki pelaburan tersebut dalam keadaan berisiko tinggi.

Seorang yang mempunyai minda pelabur, sepatutnya memasuki pelaburan ketika harga sedang rendah dan mempunyai potensi yang sangat cerah. Ini akan membantu anda dari segi menguruskan risiko terhadap pelaburan yang dibuat.

Oleh itu, adalah dinasihatkan anda untuk mengetahui sekurang-kurangnya asas pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Anda juga boleh berhubung dengan penasihat kewangan untuk membantu anda membuat keputusan pelaburan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *