hukum asb halal haram asb

Hukum ASB

Isu hukum ASB ini sering diperkatakan dan digembar-gemburkan sehingga kebanyakkan orang berasa sangsi untuk melabur dalam ASB. Bagi menjawab permasalahan ini, adalah kita merujuk ulasan yang dikeluarkan oleh para ulama berkaitan hukum ASB.

Klik sini untuk memahami apa itu ASB?

Pandangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mempunyai kaedah tertentu bagi menetapkan sama ada sesuatu sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan.

Apa yang pasti, dalam pelaburan ASB tidak ada pendedahan kepada syarikat judi dan arak mahupun syarikat tembakau. Ini dapat dilihat daripada pendedahan aset ASB berdasarkan laporan kewangan tahunan ASB 2018.

Senarai 20 Pelaburan Terbesar Berbanding NAB pada 21 Disember 2018

Berdasarkan laporan kewangan tersebut kita dapat melihat pendedahan kepada Maybank adalah sebanyak 24.11%. Maybank adalah salah satu sekuriti tidak patuh syariah kerana terlibat dalam perbankan konvensional.

Kerana pendekatan kuantitatif yang digunakan oleh Suruhanjaya Sekuriti, ini menyebabkan berlaku percanggahan pandangan berikutan isu pengharusan ASB ini.

Isu pendedahan kepada Maybank

Akan tetapi, apa yang masyarakat perlu fahami, pendedahan aset ASB kepada Maybank ini adalah bagi menguasai sektor perbankan. Tidak dinafikan buat masa sekarang Maybank masih merupakan sebuah bank konvensional.

Walaubagaimanapun, apabila berlaku penguasaan PNB dalam syarikat Maybank, operasi Maybank mengalami perubahan iaitu ianya mengamalkan polisi Islamic Services First. Dalam erti kata lain, dengan penguasaan PNB ke dalam Maybank, ianya secara beransur-ansur menukarkan bank tersebut kepada bank yang menepati kehendak syarak.

Hal ini dapat dibuktikan apabila Maybank Islamic, anak syarikat Maybank merupakan sebuah bank islam yang terbesar di rantau Asia Pasifik. Selain itu, pengambil alihan Bank Internasional Indonesia (BII) di Indonesia dan menjadikannya sebagai sebuah bank yang menepati kehendak syarak.

Pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Penjelasan Hukum Harus Oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Sebagai badan pengeluar hukum yang diberikan autoriti oleh Ulil Amri, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menggunakan kaedah-kaedah serta dalil-dalil yang diiktiraf syarak. Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariyyah dan siasah syar’iyyah.

Setiap hukum yang diputuskan bukan hanya melihat dari satu aspek tertentu sahaja dan tidak melibatkan sebarang tanda aras berbentuk angka untuk memutuskannya sebagai halal, harus atau haram. Tetapi hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah, menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar.

Dalam menentukan hujah keharusan dalam pelaburan ASN dan ASB ini, ada pihak-pihak yang berceramah di sana sini mengatakan hukum yang dikeluarkan oleh Muzakarah tidak mengikut syarak kerana berhujah menggunakan maslahah.

Adalah sangat tidak tepat jika ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa hujah bersandarkan maslahah ummah mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

Semua pihak perlu memahami bahawa prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abd. Shukor Bin Hj. Husin
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Huraian oleh Datuk Dr. Daud Abu Bakar

Hukum ASB

Kesimpulan hukum ASB

Sebagai orang awam, adalah lebih baik kita bersandarkan kepada hukum yang telah disepakati oleh para fuqaha yang arif dalam bidang ini. Mereka adalah lebih berautoriti dalam mengeluarkan sesuatu hukum berbanding mana-mana penceramah bebas yang ada dalam membincangkan hukum ASB.

hukum asb
Hukum Pelaburan ASB/ASN
Sumber: http://www.asnb.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *