Beli rumah pertama

Beli rumah pertama, 6 perkara yang anda perlu buat

Memiliki rumah pertama adalah idaman kebanyakkan anak muda. Jika anda belum pernah beli rumah, pembelian rumah pertama agak tricky. Walaubagaimanapun, untuk membeli rumah pertama tidaklah begitu susah jika anda bersedia dengan sepenuhnya.

Saya kongsikan artikel ini sebagai satu panduan asas bagi anda yang nak memiliki rumah pertama.

Beli rumah vs sewa

Pertama sekali, apa yang anda fikirkan sebelum nak memiliki rumah pertama adalah anda kena buat perbandingan sama ada bagi situasi anda menyewa atau membeli rumah lebih menguntungkan bagi situasi anda.

Katakan anda ditawarkan sebuah rumah yang berharga RM400,000. Bayaran bulanan bagi rumah ini adalah sekitar RM2,000! Pada masa yang sama, sekarang anda menyewa dengan kadar RM500 untuk satu bilik.

Kenapa nak beli rumah yang komitmen bulanan sebanyak RM2000, sedangkan anda masih bujang dan boleh menyewa RM500 je. Akan tetapi kalau kadar anda menyewa lebih kurang sama macam anda beli rumah, maka ianya sangat sesuai untuk anda memiliki rumah tersebut.

Jadi anda kena tengok dulu keadaan anda sama ada beli rumah atau sewa yang lebih menguntungkan. Ini tidak terpakai jika anda membeli rumah tersebut bagi tujuan pelaburan.

Berapa harga rumah yang anda mampu?

Kalau anda nak beli secara tunai perkara ini lebih mudah. Lagi banyak anda simpan, lagi mahal rumah yang anda boleh beli. Akan tetapi, kalau anda nak beli rumah guna loan/financing ini adalah persoalan yang kedua yang anda perlu fikirkan.

Cara mudah nak tahu berapa kelayakan anda adalah menggunakan kalkulator kelayakan pinjaman rumah.

Contoh kes Ali

Gaji bersih RM4000
Jumlah pinjaman semasa = RM2000
  • PTPTN RM200
  • Pinjaman kereta RM800
  • Pinjaman peribadi RM500
  • Kad kredit RM500
Kelayakan pinjaman bank untuk kes Ali adalah RM100,000*

*Disclaimer: Ini adalah panduan secara umum sahaja. Pengiraan sebenar oleh pihak bank berbeza mengikut bank masing-masing

Itulah kalau anda suka sangat buat banyak hutang, jadi jangan terkejut kalau orang gaji besar pun tapi kelayakan pinjaman bank sikit sahaja.

Apabila dah tahu kelayakan rumah anda, kemudia barulah cari rumah yang sesuai dengan kelayakan pinjaman anda. Ini supaya tak lah nanti loan yang anda mohon pada pihak bank kena reject.

Pedih dia tu lagi pedih kena reject dengan crush okay!

Simpanan tunai

Ini adalah yang langkah yang paling susah! Anda kena sediakan simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada harga rumah yang anda nak beli. Nak lagi selamat, anda sediakan 15% dari harga rumah tersebut.

Contohnya kelayakkan pinjaman bank anda adalah RM300,000 dan anda berniat nak beli rumah RM300,000. Jadi anda kena ada paling kurang sebanyak RM30,000. Akan tetapi ada sesetengah projek anda boleh beli tanpa perlu menggunakan kesemua duit simpanan sebanyak itu.

Ada beberapa projek sekarang yang anda boleh dapat 105% financing. 100% cover pembelian rumah, dan 5% untuk cover legal fees. Ada projek lain yang sediakan cash rebate apabila anda beli rumah tersebut.

Walalubagaimanapun, lebih baik anda sediakan simpanan tunai sebelum membeli. Kalau ada lebihan tunai, anda boleh gunakan nanti apabila nak pasang grill, pekakas elektrik, perabot dan mungkin juga untuk tujuan ubahsuai.

Profil kewangan

Bila deposit dah ready, apa yang anda perlu buat adalah cantikkan anda punya profil kewangan anda. Antara yang anda kena sediakan adalah:

  • Penyata cukai/Zakat
  • Penyata bank
  • Slip gaji

Profil kewangan ini anda kena sediakan antara 3-6 bulan sebelum anda mohon untuk beli rumah. Jadi kalau anda berniat nak beli rumah pada Disember, anda dah kena mula cantikkan profil kewangan anda dari Jun.

CCRIS

Akhir sekali, anda kena jaga kedudukan kredit anda atau juga dikenali sebagai CCRIS. Apa benda CCRIS ni? CCRIS adalah satu sistem yang merekod tabiat anda membayar hutang sedia ada. Ini menjadikan pihak bank lebih mudah untuk mengenali sama ada anda jenis disiplin membayar atau liat membayar hutang.

Kalau anda membayar tanpa culas, angka “0” akan wujud dalam laporan CCRIS anda. Jika anda lewat membayar sebulan, angka “1” akan wujud dalam laporan CCRIS anda manakala jika anda lewat membayar 2 bulan, angka “2” akan muncul.

ccris beli rumah
Contoh CCRIS yang baik mengandungi angka “0”

Begitulah jika anda lewat membayar pada bulan-bulan berikutnya. Ini bermakna, jika dalam laporan CCRIS anda ada angka 30, ini bermaksud anda sudah terlewat membayar selama 30 bulan.

Kalau CCRIS anda dah koyak rabak kena lah betulkan dalam tempoh 12 bulan sebelum beli rumah. Ini kerana, laporan CCRIS mempunyai maklumat pembayaran anda untuk tempoh 12 bulan yang lepas. Kalaulah anda langsaikan baki tertunggak pinjaman sekarang, ia mengambil masa lebih kurang 12 bulan untuk hilang daripada rekod tersebut.

Kalau CCRIS anda “dara” dan “teruna” lagi, disarankan anda wujudkan paling tidak satu rekod bagi memudahkan anda mohon pinjaman bank kelak. Cara paling mudah adalah buat kad kredit, tapi pastikan anda boleh kawal penggunaan kad kredit tu okay? Jangan lupa diri swipe sana sini macam anda swipe orang dekat Tinder.

DSR

DSR atau Debt Service Ratio adalah salah satu perkara yang akan dilihat apabila anda memohon sesuatu pinjaman atau pembiayaan daripada bank. Jika DSR anda terlalu tinggi, ini menyebabkan anda dikelaskan sebagai seorang yang berisiko tinggi kerana terlalu banyak hutang.

Oleh itu, anda disarankan menyemak DSR anda sebelum memohon pembiayaan rumah daripada pihak bank. Kami menyediakan kalkulator DSR untuk para pembaca bagi menyemak DSR anda.

Kesimpulan beli rumah pertama

Ini adalah 6 perkara asas yang anda kena buat sebelum nak beli rumah pertama. Nak beli rumah tak salah, tapi janganlah sampai merasakan ianya satu kewajipan kalau anda masih lagi belum mampu memiliki rumah pertama.

Kalau masih tak mampu, sila pastikan anda susun semula kedudukan kewangan anda. Anda juga boleh dapatkan khidmat nasihat perancang kewangan berlesen bagi membantu anda menyusun semula kedudukan kewangan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *