Featured rumah pertama

Saya nak beli rumah pertama, apa yang perlu saya buat?

Memiliki rumah pertama adalah idaman kebanyakkan anak muda. Jika anda belum pernah beli rumah, pembelian rumah pertama agak tricky. Walaubagaimanapun, untuk membeli rumah pertama tidaklah begitu susah jika anda bersedia dengan sepenuhnya.

Membantu golongan muda terutamanya memiliki rumah pertama adalah salah satu khidmat yang saya berikan kepada masyarakat. Sebagai tanda sokongan saya kepada usaha ini, saya kongsikan artikel ini sebagai satu panduan asas bagi anda yang nak memiliki rumah pertama.

Kesilapan anak muda beli rumah

Berikut adalah 5 perkara yang anda perlu tahu dan buat untuk memiliki rumah pertama anda.

Sewa vs beli rumah

Pertama sekali, apa yang anda fikirkan sebelum nak memiliki rumah pertama adalah anda kena buat perbandingan sama ada bagi situasi anda menyewa atau membeli rumah lebih menguntungkan bagi situasi anda.

Katakan anda ditawarkan sebuah rumah yang berharga RM400,000. Bayaran bulanan bagi rumah ini adalah sekitar RM2,000! Pada masa yang sama, sekarang anda menyewa dengan kadar RM500 untuk satu bilik.

Tak cukup pendapatan? Jom ketahui 5 rahsia buat duit pasif melalui internet

Kenapa nak beli rumah yang komitmen bulanan sebanyak RM2000, sedangkan anda masih bujang dan boleh menyewa RM500 je. Akan tetapi kalau kadar anda menyewa lebih kurang sama macam anda beli rumah, maka ianya sangat sesuai untuk anda memiliki rumah tersebut.

Jadi anda kena tengok dulu keadaan anda sama ada beli rumah atau sewa yang lebih menguntungkan bagi anda. Perkara ini tidak terpakai jika anda membeli rumah tersebut bagi tujuan pelaburan.

Apa yang pelabur hartanah perlu buat dalam keadaan pasaran hartanah yang menurun?

Berapa harga rumah pertama yang anda mampu?

Kalau anda nak beli secara tunai perkara ini lebih mudah. Lagi banyak anda simpan, lagi mahal rumah yang anda boleh beli. Akan tetapi, kalau anda nak beli rumah guna loan/financing ini adalah persoalan yang kedua yang anda perlu fikirkan. Cara mudah nak tahu berapa kelayakan anda adalah seperti ini.

(Gaji – jumlah pinjaman semasa – 1300) × 200=Kelayakan pinjaman bank*

Contoh kes Ali

Gaji bersih = RM4000

Jumlah pinjaman semasa = RM2000

  • PTPTN RM200
  • Pinjaman kereta RM800
  • Pinjaman peribadi RM500
  • Kad kredit RM500

Kelayakan pinjaman bank untuk kes Ali adalah seperti berikut;

( RM4000 – RM2000 – RM1300 ) × 200 = RM140,000*

*Disclaimer: Ini adalah panduan secara umum sahaja. Pengiraan sebenar oleh pihak bank berbeza mengikut bank masing-masing

Itulah kalau anda suka sangat buat banyak hutang, jadi jangan terkejut kalau orang gaji besar pun tapi kelayakan pinjaman bank sikit sahaja. Apabila dah tahu kelayakan rumah anda, kemudia barulah cari rumah yang sesuai dengan kelayakan pinjaman anda. Ini supaya tak lah nanti loan yang anda mohon pada pihak bank kena reject.

Pedih dia tu lagi pedih kena reject dengan crush okay!

Simpanan tunai

Ini adalah yang langkah yang paling susah bagi kebanyakkan orang. Anda kena sediakan simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada harga rumah yang anda nak beli. Nak lagi selamat, anda sediakan 15% dari harga rumah tersebut.

Contohnya kelayakkan pinjaman bank anda adalah RM300,000 dan anda berniat nak beli rumah RM300,000. Jadi anda kena ada paling kurang sebanyak RM30,000. Akan tetapi ada sesetengah projek anda boleh beli tanpa perlu menggunakan kesemua duit simpanan sebanyak itu.

3 cara mudah nak dapatkan deposit rumah

Ada beberapa projek sekarang yang anda boleh dapat 105% financing. 100% cover pembelian rumah, dan 5% untuk tampung legal fees dan caj-caj lain. Ada projek lain yang sediakan cash rebate apabila anda beli rumah tersebut.

Walaubagaimanapun, lebih baik anda sediakan simpanan tunai sebelum membeli. Kalau ada lebihan tunai, anda boleh gunakan nanti apabila nak pasang grill, pekakas elektrik, perabot dan mungkin juga untuk tujuan ubahsuai.

Profil kewangan

Bila deposit dah ready, apa yang anda perlu buat adalah cantikkan anda punya profil kewangan anda. Antara yang anda kena sediakan adalah:

  • Penyata cukai/Zakat
  • Penyata bank
  • Slip gaji

Profil kewangan ini anda kena sediakan antara 3-6 bulan sebelum anda mohon untuk beli rumah. Jadi kalau anda berniat nak beli rumah pada Disember, anda dah kena mula cantikkan profil kewangan anda dari Jun.

CCRIS

Akhir sekali, anda kena jaga kedudukan kredit anda atau juga dikenali sebagai CCRIS. Apa benda CCRIS ni? CCRIS adalah satu sistem yang merekod tabiat anda membayar hutang sedia ada. Ini menjadikan pihak bank lebih mudah untuk mengenali sama ada anda jenis disiplin membayar atau liat membayar hutang.

Kalau anda membayar tanpa culas, angka “0” akan wujud dalam laporan CCRIS anda. Jika anda lewat membayar sebulan, angka “1” akan wujud dalam laporan CCRIS anda manakala jika anda lewat membayar 2 bulan, angka “2” akan muncul. Begitulah jika anda lewat membayar pada bulan-bulan berikutnya. Ini bermakna, jika dalam laporan CCRIS anda ada angka 30, ini bermaksud anda sudah terlewat membayar selama 30 bulan!

CCRIS beli rumah pertama
Contoh laporan CCRIS yang baik

Kalau CCRIS anda dah koyak rabak kena lah betulkan dalam tempoh 12 bulan sebelum beli rumah. Ini kerana, laporan CCRIS mempunyai maklumat pembayaran anda untuk tempoh 12 bulan yang lepas. Kalaulah anda langsaikan baki tertunggak pinjaman sekarang, ia mengambil masa lebih kurang 12 bulan untuk hilang daripada rekod tersebut.

Kalau CCRIS anda “dara” dan “teruna” lagi, disarankan anda wujudkan paling tidak satu rekod bagi memudahkan anda mohon pinjaman bank kelak. Cara paling mudah adalah buat kad kredit, tapi pastikan anda boleh kawal penggunaan kad kredit tu okay? Jangan lupa diri swipe sana sini macam anda swipe orang dekat Tinder.

Macam mana nak dapatkan laporan CCRIS? Cara paling mudah adalah dapatkan daripada mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia atau AKPK secara percuma!

Kesimpulan

Ini adalah 5 perkara asas yang anda kena buat sebelum nak beli rumah pertama. Nak beli rumah tak salah, tapi janganlah sampai merasakan ianya satu kewajipan kalau anda masih lagi belum mampu memiliki rumah pertama.

Membeli rumah pertama boleh menjadi suatu perkara yang agak complicated jika anda tidak bersedia aripada awal. Jika anda sudah bersedia, urusan pembelian rumah anda akan menjadi lebih mudah.

Kalau masih tak mampu, sila pastikan anda susun semula kedudukan kewangan anda. Anda juga boleh dapatkan khidmat nasihat penasihat kewangan professional bagi membantu anda menyusun semula kedudukan kewangan anda.

Faiz Wahab

Merupakan seorang Licensed Islamic Financial Adviser yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia. Seorang pelabur saham yang aktif di Bursa Malaysia. Kenali lebih lanjut di https://faizwahab.com/faiz-wahab/

You may also like...

Popular Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Artikel ini adalah harta intelek FaizWahab.com. Sila klik button share jika anda merasakan artikel ini bermanfaat untuk dikongsi