asb amanah saham bumiputera

Amanah Saham Bumiputera

Amanah Saham Bumiputera atau juga dikenali sebagai ASB adalah sebuah unit amanah yang dikendalikan oleh Amanah Saham Nasional Berhad atau juga disebut sebagai ASNB. Ramai orang terkeliru apabila menggunakan istilah ASB, ASN, ASNB dan ASBF.

Dalam artikel kali ini, kita akan membincangkan perihal ASB secara menyeluruh agar kita sebagai pengguna lebih memahami produk ini.

ASB merupakan satu unit amanah yang dikhususkan bagi bumiputera sahaja. Bagi golongan bukan bumiputera, anda tidak dibenarkan untuk menyertai unit amanah ini, akan tetapi anda boleh memilih produk-produk ASNB yang lain. Untuk memahami perkara ini, kita perlu mengundur sedikit masa dan mengetahu sejarah unit amanah ini.

Sejarah ASB

Permodalan Nasional Berhad (PNB) ditubuhkan pada 17 Mac 1978 sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baru Kerajaan untuk menggalakkan pemilikan saham dalam sektor korporat di kalangan Bumiputera, dan memberi peluang kepada golongan profesional Bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai pewujudan dan pengurusan harta.

Daripada skim unit amanahnya yang pertama iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilancarkan pada 20 April 1981, sehinggalah produk terbarunya iaitu ASN EQUITY 5 dan ASN SARA 2 yang dilancarkan pada 27 September 2018, PNB melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), telah memainkan peranan penting dalam membawa anjakan paradigma dan merubah pemikiran rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Bumiputera.

Syarikat Pengurus Dana iaitu ASNB adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB). ASNB ditubuhkan pada 22 Mei 1979 sebagai syarikat pengurusan unit amanah di bawah PNB. Setelah 40 tahun berada dalam industri, ASNB kini mengurus 14 dana yang bernilai RM235.74 bilion pada tarikh catatan terakhir 31 Disember 2018.

Produk Amanah Saham Bumiputera (ASB) telah dilancarkan pada 2 Januari 1990. Secara asasnya dana ini ditubuhkan sebahagian daripada usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum bumiputera dan golongan bukan bumiputera. Atas sebab inilah ianya dikhaskan bagi golongan bumiputera sahaja. Walaubagaimanapun, bagi golongan bukan bumiputera, anda masih boleh membeli unit amanah lain yang ditawarkan oleh ASNB.

Setelah memahami sedikit sebanyak sejarah ASB, kita akan menyelusuri pula syarat-syarat bagi melabur dalam produk ini.

Ciri-ciri Amanah Saham Bumiputera

Syarat-syarat melabur ASB

Seperti yang kita sedia maklum, dana ini hanya terbuka kepada golongan bumiputera sahaja. Secara asas ada dua jenis akaun yang terdapat bagi produk ini iaitu;

  • Akaun Dewasa (18 tahun dan ke atas) dan
  • Akaun Remaja (ibu bapa atau penjaga sah dari kategori seperti di atas yang melabur bagi kanak-kanak Bumiputera yang berumur 18 tahun ke bawah serta mempunyai sijil kelahiran yang sah)

Had pelaburan maksimum

Had pelaburan maksima bagi kedua-dua akaun ini adalah RM200,000 sahaja. Ini bermaksud anda boleh memasukkan maksimum sebanyak RM200,000 dan tidak boleh lebih. Walaubagaimanapun, ini adalah syarat bagi pelaburan asas. Tambahan unit daripada pelaburan semula pengagihan pendapatan (dividen) tidak dikira dalam had RM200,00 ini.

Sebagai contoh, anda memasukkan RM200,000 ke dalam akaun anda. Pada tahun berikutnya dan dividen yang diumumkan pada kadar 6%, anda mendapat agihan pendapatan sebanyak RM12,000. Agihan pendapatan ini atau dividen akan dimasukkan (pelaburan semula) ke dalam akaun ASB anda dan ianya tidak tertakluk kepada had RM200,000 yang disebutkan tadi.

Caj jualan dan jualan balik

Ini merupakan salah satu ciri yang menarik bagi dana ini kerana ianya tidak mengenakan sebarang caj bagi jualan dan jualan balik. Bagi sesetengah unit amanah lain terutamanya ekuiti, caj jualan yang dikenakan kepada para pelabur adalah sehingga 5% daripada nilai pelaburan. Oleh itu, ASB adalah sangat kompetatif dibandingkan dengan unit amanah yang lain.

Pelaburan permulaan dan pelaburan tambahan minimum

Bagi anda yang hendak memulakan pelaburan dalam ASB, pelaburan minimum adalah sebanyak RM10 sahaja. Ini bermakna, untuk membuka akaun ASB ini anda hanya memerlukan minimum RM10 sahaja.

Bagi melakukan pelaburan tambahan pula, jumlah minimum adalah RM1 bagi transaksi tunai dan RM1,000 bagi tambahan unit berbentuk sijil. Oleh itu, tidak ada alasan bagi mereka yang liat untuk melabur kerana syarat nilai perlaburan permulaan dan pelaburan tambahan yang rendah ini.

Klik sini untuk mengetahui hukum ASB

Dividen ASB yang kompetatif

Sejak ditubuhkan pada tahun 1990, ASB berupaya memberikan kadar pulangan atau dividen yang kompetatif berbanding unit amanah lain. Dividen ASB yang diberikan adalah antara 6.75% hingga 10% pernah dicatatkan semenjak penubuhannya sehingga tahun 2016.

dividen-asb dividen amanah saham bumiputera
Sejarah Dividen ASB 1990-2016
Sumber: www.astroawani.com/

Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa sejarah prestasi dividen ASB tidak menjamin keuntungan pada masa depan.

Faedah terkompaun

Jika anda membiarkan unit tadi tanpa diusik, pada tahun berikutnya diumumkan kadar dividen yang sama iaitu 6%, anda akan menerima RM12,720. Inilah yang disebutkan faedah terkompaun atau compounding interest.

Bagi memudahkan anda memahami faedah terkompaun ini, berikut merupakan ilustrasi pelaburan anda bagi tempoh 30 tahun.

Jadual unjuran dividen ASB bagi tempoh 30 tahun
Pelaburan terkompaun dividen asb
Ilustrasi pelaburan terkompaun Dividen ASB

Walaubagaimanapun, faedah terkompaun ini hanya akan dinikmati jika anda tidak membuat pengeluaran agihan pendapatan anda. Jika anda mengeluarkan agihan pendapatan tersebut, maka unit yang anda miliki adalah sama dan tidak berkembang.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk ASB ini, anda boleh mendapatkan Halaman Serlahan Produk ASB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *