Featured akaun saham

Nak buka akaun saham? Ini apa yang perlu anda tahu

Terdapat banyak broker akaun saham yang ada di pasaran. Ada pelabagai tawaran yang diberikan oleh para broker untuk pengguna. Sebagai pengguna, kita mestilah bijak memilih broker yang bertepatan dengan diri kita.

Hal ini kerana, jika kita tidak memilih broker yang sesuai, kita mungkin terpaksa membayar cas yang lebih mahal berbanding pelabur lain dan menjadikan keuntungan yang dinikmati kurang berbanding pelabur lain di Bursa Malaysia.

Berikut merupakan beberapa tips dan soalan yang anda boleh gunakan bagi mengenalpasti broker mana yang bersesuaian dengan anda.

1. Adakah akaun saham ini patuh Shariah?

Jika anda muslim, ini adalah soalan yang paling penting bagi anda. Ini kerana seorang pelabur Muslim tidak mahu akaun pelaburannya bercampur dengan sumber yang haram. Akaun saham tidak patuh syariah menyebabkan seorang pelabur terdedah kepada riba. Selain itu, pelabur juga berisiko untuk melabur dalam syarikat perjudian dan syarikat-syarikat yang menjalankan operasi yang haram.

Sekarang terdapat 15 broker yang menawarkan akaun saham patuh syariah. Oleh itu, menjadi kewajipan sebagai seorang Muslim untuk mencari akaun saham patuh syariah. Klik sini jika nak tahu broker mana yang menawarkan akaun saham patuh Syariah.

2. Berapa yuran broker?

Yuran broker atau juga disebut sebagai brokerage fee. Ini merupakan salah satu perkara yang sangat penting bagi anda sebagai seorang pelabur. Hal ini kerana yuran broker ini dikenakan setiap kali anda melakukan urusan jual dan beli saham. Jika yuran broker terlalu tinggi, ini akan menyebabkan keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti jual beli saham menjadi kurang.

Setakat ini di pasaran ada broker yang menawakan yuran broker serendah 0.08% sehingga 0.6%. Walaubagaimanapun, sebagai pelabur anda perlu sedar ada juga broker yang meletakkan syarat tambahan iaitu yuran broker minimum sebanyak RM8. Ada pula broker yang menetapkan yuran minimum sehingga RM28.

Sebagai contoh anda menggunakan broker A dengan brokerage fee sebanyak 0.08% dan minimum brokerage fee RM8. Jika brokerage fee anda untuk satu transaksi sebanyak RM5, anda akan tetap perlu membayar RM8 kerana minimum brokerage fee syarikat tersebut adalah RM8.

3. Berapa baki minimum?

Sesetengah broker meletakkan syarat untuk anda mengekalkan baki minimum dalam akaun amanah atau Trust Account anda. Jika anda mempunyai sumber yang terhad untuk pelaburan saham anda, ini merupakan salah satu perkara yang perlu diambil berat. Sebaiknya, pilihlah broker yang tidak mempunyai syarat ini.

4. Akaun tunai (cash) atau kolateral (collateral)

Apabila anda menggunakan akaun saham, terdapat dua jenis akaun yang anda boleh pilih iaitu tunai dan kolateral. Jika anda menggunakan akaun tunai, anda hanya dibenarkan untuk berdagang dengan amaun yang anda masukkan dalam akaun saham anda. Sebagai contoh, jika anda mendeposit sebanyak RM10,000 anda hanya dibenarkan untuk berdagang dengan had RM10,000 sahaja.

Sebaliknya jika anda menggunakan akaun kolateral, anda dibenarkan untuk berdagang dengan lebih berbanding dengan amaun yang anda depositkan. Sebagai contoh, anda mendeposit sebanyak RM10,000 dalam akaun anda, anda dibenarkan untuk berdagang sehingga RM30,000. Walaubagaimanapun, risikonya adalah anda perlu berhutang dengan pihak broker. Saya tidak menggalakkan orang baru dalam dunia saham untuk menggunakan fasiliti ini.

5. Platform dalam talian (online platform)

Zaman sekarang, anda tidak lagi perlu untuk menghubungi remiser atau dealer anda untuk melakukan transaksi saham. Dengan kemajuan internet, anda kini boleh melakukan transaksi jual beli sendiri di mana-mana bahagian di dunia asalkan mempunyai capaian internet.

Pastikan anda menggunakan broker yang menawarkan platform yang mesra pelanggan. Ini bergantung pada citarasa masing-masing. Saya lebih gemar memilih broker yang menawarkan platform yang ringkas dan tidak serabut.

Dalam platform juga, ada ciri-ciri tambahan yang disediakan. Antara yang menarik adalah ciri untuk live technical chart dan juga fundamental report. Ciri tambahan ini sangat membantu bagi anda melakukan analisis sebelum membeli sesuatu saham. Oleh itu, adalah sangat penting bagi anda memilih broker yang menawarkan ciri yang bersesuaian dengan cara pelaburan anda.

Klik sini jika anda nak tahu cara menganalisis dalam pelaburan saham dengan mudah

6. Prestasi dealer atau remiser

Apabila anda membuka satu akaun saham, anda akan mendapat seorang dealer atau remiser. Dealer dan remiser ini bertujuan untuk membantu anda jika anda mengalami masalah dengan sistem atau hendak mendapatkan pandangan kedua sebelum membeli sesuatu saham.

Dealer atau remiser yang baik boleh memberi pandangan kedua kepada pelabur untuk membuat keputusan sebelum membeli atau menjual sesuatu saham. Pilih remiser atau dealer yang bertepatan dengan cara pelaburan anda jika hendak mendapatkan pandangan kedua yang bersesuaian dengan cara pelaburan anda.

Berminat nak tahu lebih banyak tips pelaburan dan pengurusan kewangan? Sertai channel Telegram kami untuk menjadi orang pertama mendapat info terkini

sertai akaun saham

Faiz Wahab

Merupakan seorang Licensed Islamic Financial Adviser yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia. Seorang pelabur saham yang aktif di Bursa Malaysia. Kenali lebih lanjut di https://faizwahab.com/faiz-wahab/

You may also like...

Popular Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Artikel ini adalah harta intelek FaizWahab.com. Sila klik button share jika anda merasakan artikel ini bermanfaat untuk dikongsi